Pengenalan

Matlamat pendidikan adalah untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh; seimbang dan bersepadu selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ( FPK). Bagi mencapai hasrat ini, maka program/aktiviti Kokurikulum dijadikan sebagai satu komponen wajib bagi semua pelajar kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru  Malaysia. Ini bertujuan melahirkan guru permulaan yang berpengetahuan, berkemahiran dan mengamalkan nilai profesionalisme keguruan.

Guru yang berjaya bukan sahaja berkemampuan menguasai kemahiran di bilik darjah tetapi juga berkeupayaan menjadi pengurus yang berkesan dalam mengendalikan aktiviti sukan, unit berunifom ,persatuan dan hubungan dengan komuniti  di sekolah  serta persekitarannya kelak. Sehubungan itu, penglibatan pelajar dalam program/aktiviti Kokurikulum boleh membantu ke arah mewujudkan masyarakat yang demokratik, berakhlak mulia, berdisiplin, berdedikasi, berketrampilan dan bersemangat juang  yang tinggi.

Program/aktiviti Kokurikulum ini dijadikan komponen wajib bagi semua pelajar  Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI), Kursus Dalam Cuti (KDC) dan Program Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS).  Kelulusan dalam komponen ini perlu untuk mendapatkan Diploma Perguruan Malaysia dan Ijazah Keguruan Malaysia.

 

            Program/aktiviti Kokurikulum di institut terdiri daripada 3 komponen utama, iaitu:

            a) Sukan / Permainan

            b) Unit Beruniform,

            c) Persatuan / Kelab

           

            4.15.2   Objektif

           

  1. Membolehkan pelajar-pelajar memperoleh pengetahuan dan menguasai kemahiran asas dalam semua program/aktiviti kokurikulum di sekolah (persatuan, sukan/permainan dan unit beruniform) ;
  2. Menguasai aspek pengurusan dan kepimpinan untuk membolehkan pelajar merancang, mengurus dan melaksanakan semua aktiviti kokurikulum di sekolah ;
  3. Membentuk sahsiah bersepadu melalui penghayatan nilai-nilai murni, amalan demokratis, berdisiplin, taat, bersikap positif, toleransi dan patriotisme ;
  4. Mewujudkan sifat kepimpinan dan membina daya pemikiran yang tajam, inovatif, kreatif dan daya tahan dalam menghadapi tugas ; dan
  5. Melahir dan mengembangkan bakat, potensi dan kepimpinan guru pelatih dalam kegiatan sosial, kebudayaan dan khidmat masyarakat yang boleh membantu usaha ke arah mencapai matlamat integrasi, perpaduan negara dan masyarakat penyayang.